ad
AGENDA

Anwar kekal tidak ambil gaji, menteri potong gaji selagi ekonomi belum pulih

18 Jan 2024, 12:15 PM
Anwar kekal tidak ambil gaji, menteri potong gaji selagi ekonomi belum pulih

CYBERJAYA, 18 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal dengan pendirian tidak akan mengambil gaji bagi jawatan yang disandangnya sejak November 2022 itu selagi ekonomi negara tidak pulih sepenuhnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendirian sama turut diambil oleh Jemaah Menteri berhubung pemotongan gaji masing-masing sebanyak 20 peratus setiap bulan.

Bercakap pada sidang media sempena program Permukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 di sini hari ini, Anwar berkata pendirian itu akan kekal dilaksanakan kerajaan sehingga ekonomi negara kembali pulih.

"Setakat ini, saya umumkan saya tidak ambil gaji, dan potongan 20 peratus bagi yang lain (Jemaah Menteri) selagi ekonomi tidak pulih sepenuhnya... ada perubahan (ekonomi), tetapi belum boleh lagi (ambil gaji),” katanya.

Pada sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov 2022, Anwar berkata beliau tidak akan mengambil gaji bagi jawatan itu dan menyifatkan ia sebagai langkah pertama bagi menarik keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.