ad
AGENDA

KKM nafi laporan 10 pakar patologi hospital Johor Bahru dipindah

14 Jan 2024, 8:15 AM
KKM nafi laporan 10 pakar patologi hospital Johor Bahru dipindah

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan artikel berita berhubung perpindahan 10 pegawai perubatan pakar patologi Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) susulan kes pemalsuan keputusan ujian urin adalah tidak tepat.

KKM dalam kenyataan memaklumkan HSAJB telah menjelaskan situasi sebenar melalui satu kenyataan media yang disiarkan pada Khamis (11 Jan) bahawa tiada perpindahan keluar pegawai perubatan pakar patologi seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan.

“Urusan pengujian sampel urin adalah di bawah skop tugas Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) dan ia tidak melibatkan pegawai perubatan pakar patologi. Individu yang terlibat dalam kes pemalsuan keputusan ujian urin masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” menurut kenyataan itu.

Di samping itu, KKM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan selain menjelaskan HSAJB sentiasa bekerjasama dengan SPRM sepanjang proses siasatan dijalankan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad dalam hantaran di X berharap syarikat akhbar berkenaan akan lebih teliti sebelum menerbitkan sebarang berita khususnya mengenai KKM.

Beliau berkata ia supaya tidak mencetuskan rasa curiga umum terhadap perkhidmatan KKM.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.