SHAH ALAM, 5 JAN: Seramai 118 penduduk rumah panjang Kampung Bunga Raya ditawar Rumah Selangorku dan kediaman di bawah Skim Smart Sewa, kata EXCO sumber manusia.
V Papparaidu berkata keputusan itu adalah langkah jangka pendek untuk menyelesaikan isu penempatan melibatkan penduduk kawasan tersebut yang berlarutan sejak 30 tahun lepas.
“Dato’ Menteri Besar prihatin dengan isu ini meskipun pengambilan tanah tidak melibatkan Kerajaan Negeri. Beliau mahu saya segera mengendalikannya. Jadi, saya aturkan pertemuan bersama penduduk untuk mencari jalan penyelesaian jangka pendek dan panjang.
“Hasil perbincangan bersama penduduk yang turut disertai Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, kita setuju menawarkan Rumah Selangorku dan kediaman Skim Smart Sewa sebagai penempatan sementara.
“Kerajaan Negeri akan terus bantu selesaikan isu ini sepenuhnya. Saya harap penduduk dapat berbincang secara baik,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama penduduk di pusat pentadbiran negeri di sini, hari ini.
Rumah Panjang Kampung Bunga Raya merupakan penempatan sementara kepada lebih 90 keluarga yang dipindahkan pada 1993 susulan projek perumahan Dahlia di Seksyen U5.
Ketika itu, kerajaan negeri meminta penduduk berpindah ke rumah panjang sebagai penempatan sementara yang merupakan tanah milik kerajaan negeri sebelum berjanji memberi penempatan baru.
Namun, baru-baru ini, penduduk terkejut kawasan rumah panjang itu telah dijual kepada syarikat pemaju swasta. Syarikat kemudiannya mengarahkan penduduk supaya berpindah tanpa memberikan sbarang penyelesaian alternatif.