ad
AGENDA

Lelaki warga Singapura hilang dipukul ombak ditemukan lemas

28 Dis 2023, 3:00 AM
Lelaki warga Singapura hilang dipukul ombak ditemukan lemas

KOTA TINGGI, 28 DIS: Seorang lelaki warga Singapura yang hilang selepas hanyut dipukul ombak di Pantai The Westin Desaru Coast, di sini semalam, ditemukan lemas awal pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata mayat mangsa yang berusia 49 tahun itu ditemukan oleh orang awam di pesisir pantai pada 5.30 pagi.

“Mangsa yang berseluar pendek warna hitam ditemukan orang awam lebih kurang lima kilometer dari lokasi dilaporkan hilang. Isterinya turut mengesahkan mayat suaminya itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

Semalam, Masri dilaporkan berkata mangsa bersama anak lelakinya yang berusia 16 tahun dipukul ombak ketika beriadah di gigi air sebelum dihanyutkan dalam kejadian kira-kira 12.33 tengah hari.

Bagaimanapun remaja terbabit berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi.

Masri berkata lokasi kejadian itu sebelum ini telah pun dikibarkan bendera merah sebagai amaran kepada pengunjung supaya tidak melakukan aktiviti di pantai berikutan faktor cuaca.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.