ad
BERITA UTAMA

Kejohanan perahu layar gilap bakat, tarik penyertaan atlet luar negara

25 Dis 2023, 8:00 AM
Kejohanan perahu layar gilap bakat, tarik penyertaan atlet luar negara
Kejohanan perahu layar gilap bakat, tarik penyertaan atlet luar negara

KUALA LANGAT, 25 DIS: Atlet perahu layar menyambut baik usaha Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Persatuan Sukan Layar Selangor mengembangkan bakat muda melalui Kejohanan (MPKL) - SYA Perahu Layar Terbuka 2023 di Pantai Batu Laut.

Bagi peserta dari India, Shreya Krishna Lakshminarayanan, 17, kejohanan memberi ruang buat beliau untuk meneroka pengalaman baharu dan mengasah kemahiran di tempat yang berbeza.

“Saya teruja datang bersama ibu bapa dari Chennai menyertai kejohanan ini dan pengalaman berlayar adaptasi dalam kondisi pelbagai cuaca memberi pelajaran baru buat saya sejak aktif dalam sukan ini sejak 2019.

“Kejayaan saya menang tiga kategori iaitu Optimist kategori wanita (Naib Johan), Optimist Division A (Ketiga) dan kedudukan kelima secara keseluruhan adalah pencapaian terbaik. Jika dianjurkan lagi tahun hadapan, pasti saya akan sertai lagi,” katanya.

Beliau antara atlet luar negara yang ditemui selepas Kejohanan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) - SYA Perahu Layar Terbuka 2023 di Pantai Batu Laut, Kuala Langat, di sini semalam.

[caption id="attachment_620475" align="alignleft" width="500"] EXCO Kerajaan Negeri Borhan Aman Shah bergambar bersama ketika Majlis penutup Kejohanan MPKL-SYA Perahu Layar Terbuka ke-9 2023 di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]

Atlet dari Indonesia, Astari Rahayu Kenes, 18, berkata kejohanan itu menyediakan bakat-bakat baharu dengan pengetahuan pelayaran bagi menghadapi cabaran di laut yang berbeza.

“Melalui kejohanan ini, saya menjadi juara RS One kategori wanita yang sudah semestinya membantu perkembangan kemahiran dalam sukan ini. Saya harap kejohanan diteruskan dengan menambah jumlah penyertaan di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKL berkata seramai 80 atlet dalam dan luar negara menyertai kejohanan ini di Pantai Batu Laut, Kuala Langat mulai 22 hingga 24 Disember.

“Tiga pasukan dari luar negara iaitu Indonesia, India dan Singapura turut dijemput penganjur menyertai kejohanan ini.

“Sebanyak 11 kategori dipertandingkan seperti kelas Optimist, ILCA, International 420, RS One dan Techno 293 yang berumur 8 hingga 20 tahun remaja (lelaki, wanita) dan dewasa (lelaki, perempuan).

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang telah menampilkan pelbagai aksi menarik dan bersungguh-sungguh dalam setiap acara yang dipertandingkan,” kata Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.