ad
AGENDA

Empat premis di Selangor diambil tindakan menerusi skim harga maksimum musim perayaan

23 Dis 2023, 9:30 AM
Empat premis di Selangor diambil tindakan menerusi skim harga maksimum musim perayaan

CYBERJAYA, 23 DIS: Hanya empat daripada 1,091 premis di Selangor yang diperiksa menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sepanjang tahun ini, dikenakan tindakan setakat ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Mohd Khairi Jamaludin berkata ia jelas menunjukkan kadar pematuhan tinggi peniaga di negeri ini terhadap peraturan ditetapkan ketika perayaan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan Deepavali lalu.

“KPDN Selangor yakin prestasi pematuhan peniaga sepanjang SHMMP sempena Krismas yang berkuat kuasa hari ini hingga 27 Disember ini juga berupaya mencapai sifar kesalahan,” katanya kepada media selepas menjalankan pemeriksaan pematuhan SHMMP sempena Krismas di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Pada masa sama, berdasarkan pemeriksaan pihaknya, Mohd Khairi berkata bekalan gula dan minyak masak di Selangor adalah terkawal buat masa ini.

Beliau berkata KPDN Selangor akan mempertingkatkan keberadaan anggota penguat kuasa di lokasi tumpuan bagi mewujudkan persekitaran urus niaga yang harmoni dan beretika, selain akan terus melakukan pemeriksaan berkala sebagai usaha memastikan tiada aktiviti sorokan bekalan minyak masak dan gula.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.