SHAH ALAM, 23 DIS: Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning mendapat permintaan tinggi sejak dianjurkan pada 2022 di lokasi sama.
Ahli Majlis MPP Zon 10 Saribanon Saibon berkata JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu dianjurkan 36 kali di Dewan MBSA Pulai Seksyen 27A di sini.
“Rata-rata penduduk di sini minta JER dianjurkan lebih kerap berikutan harga yang ditawarkan murah dan berpatutan, membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
[caption id="attachment_620149" align="alignleft" width="419"] Ahli Majlis MPP Zon 10 Saribanon Saibon. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
“Namun, saya cadangkan PKPS menambah lagi kuantiti barangan terutama ayam dan telur kerana dua produk ini mendapat permintaan sangat tinggi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Penyelia JER Muhammad Adli Hamdan berkata dalam program itu pihaknya membawa 500 ekor ayam, masing-masing 300 kampit beras, telur, ikan pelbagai jenis dan 72 botol minyak masak.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).
[caption id="attachment_620152" align="alignright" width="332"] Penyelia JER Muhammad Adli Hamdan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.
Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.
Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 ekoran kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.
[caption id="attachment_620150" align="aligncenter" width="692"] Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Kemuning di Dewan MBSA Pulai, Shah Alam pada 23 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.
Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.
[caption id="attachment_620153" align="aligncenter" width="809"] Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Kemuning di Dewan MBSA Pulai, Shah Alam pada 23 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.