ad
BERITA UTAMA

Pengusaha kilang tanpa kebenaran diberi tiga bulan laksana pemutihan

20 Dis 2023, 12:30 PM
Pengusaha kilang tanpa kebenaran diberi tiga bulan laksana pemutihan

KLANG, 20 DIS: Pengusaha kilang tanpa kebenaran di negeri ini diberi tempoh tiga bulan untuk melaksanakan proses pemutihan selepas notis dikeluarkan, maklum EXCO kerajaan tempatan.

Dato' Ng Suee Lim menegaskan tindakan rampasan tanah akan dibuat serta-merta sekiranya pengusaha gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan.

Beliau mengakui sejak 2006, banyak kelonggaran dan tawaran melaksanakan pemutihan diberi kepada pemilik kilang terbabit, namun sambutan tidak menggalakkan.

“Jadi kali ini kita beri dasar dan tawaran baru (untuk proses pemutihan) tetapi pada masa sama penguatkuasaan itu akan dijalankan.

“Sekiranya mereka ingkar, penguatkuasaan mesti dijalankan dan kita tidak akan beri peluang. Selepas notis dihantar mereka kena datang buat pemutihan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis Anugerah Komuniti Mampan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini hari ini. Hadir sama Yang Dipertua MPK Datin Paduka Noraini Roslan.

Pada 15 Disember, Suee Lim menggesa pengusaha kilang tanpa kebenaran di Selangor untuk tampil melaksanakan proses pemutihan bagi mengelak tindakan rampasan tanah.

Jika tanah dirampas, katanya pemilik perlu membayar premium tanah mengikut jumlah ditetapkan pentadbiran negeri berikutan status bertukar kaveat iaitu dimiliki kerajaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.