AMPANG JAYA, 17 DIS: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (Mdec) menyasarkan penyertaan seramai 40,000 peserta dari seluruh negara bagi program Jelajah Saya Digital (JSD) tahun depan.
Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata pihaknya menyasarkan lebih 30 lokasi bagi penganjuran program itu tahun depan merangkumi kawasan bandar dan luar bandar.
“Contohnya di Selangor kita sudah adakan di Sungai Besar serta Sungai Buloh, jadi tahun ini mungkin kita boleh cadangkan Hulu Selangor. Kita mahu penduduk luar bandar juga mendapat manfaat daripada program ini.
“JSD telah dijalankan secara turun padang di 51 lokasi seluruh negara sejak ia mula dilaksanakan dua tahun lalu dan seramai 19,453 rakyat telah mendapat manfaat daripadanya di seluruh negara,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Jelajah Saya Digital@Selangor 2023 di Dewan Dato’ Ahmad Razali di sini, hari ini.
[caption id="attachment_619259" align="alignnone" width="700"] Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh (empat, kiri) melawat reruai pada program Jelajah Saya Digital @ Selangor 2023 di Dewan Dato' Ahmad Razali, Ampang Jaya pada 17 Disember 2023. Turut sama Pegawai Dasar kepada EXCO Pembudayaan Sains, Teknologi, Inovasi dan Infrastruktur Digital, Ya Asrul Yaman Kijas (kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]
Ketika berucap merasmikan program itu beliau berkata Mdec menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat terutama penduduk daripada pelbagai lapisan latar belakang yang berada di luar bandar dan serata negara tidak ketinggalan dalam dunia digital.
“(Pada masa ini) penguasaan kemahiran digital sangat penting kerana ia membantu memudahkan kehidupan seharian di pelbagai peringkat sekali gus memastikan (setiap lapisan masyarakat) ada peluang yang sama untuk menjana pendapatan dan nikmati keselesaan hidup,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata inisiatif Mdec menyantuni rakyat Selangor amat dihargai dialu-alukan.
“Penguasaan kemahiran digital ini penting di semua peringkat. Sebagai contoh ada peniaga nasi ayam di kawasan DUN Lembah Jaya yang mengakui 55 peratus daripada jualannya kini daripada pesanan digital yang dibuat pelanggan.
“Di situ nampak kepentingan kemahiran digital ini kerana ia membantu meningkatkan capaian pelanggan sekali gus mengembangkan perniagaan,” katanya.
[caption id="attachment_619276" align="aligncenter" width="700"] Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh (kanan) melawat reruai MDEC pada program Jelajah Saya Digital @ Selangor 2023 di Dewan Dato' Ahmad Razali, Ampang Jaya pada 17 Disember 2023. Turut sama ADN Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin (dua, kanan) dan ADN Lembah Jaya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (tiga, kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]
[caption id="attachment_619268" align="aligncenter" width="700"] Kanak-kanak mencuba permainan Gigabash yang dibuat oleh warga Malaysia sempena Jelajah Saya Digital @ Selangor 2023 di Dewan Dato' Ahmad Razali, Ampang Jaya pada 17 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]