ad
AGENDA

Remaja 14 tahun ditemui lemas di tali air

17 Dis 2023, 5:32 AM
Remaja 14 tahun ditemui lemas di tali air

KUANTAN, 17 DIS:  Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi di tali air Perkampungan Indera Sempurna di sini pada Jumaat lepas, ditemukan lemas pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata mayat Muhammad Amirul Haikal Che Jaapa ditemukan kira-kira 1.6 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Mangsa ditemukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada 10.22 pagi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Amirul Haikal, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau di sini, dilaporkan hilang kira-kira 3.50 petang Jumaat semasa mandi di tali air yang terletak berhampiran rumahnya bersama enam rakan.

Mangsa dan rakan didakwa mula mandi pada 3.10 petang dan naik ke tebing selepas menyedari paras air semakin dalam, namun mangsa dikatakan tergelincir jatuh dan hanyut dibawa arus.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa diaktifkan pada petang Jumaat dan operasi hari kedua semalam, turut melibatkan dua anjing pengesan (K9) bomba iaitu Denti dan Frankie.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.