SHAH ALAM, 16 DIS: Syarikat penyelenggara sampah negeri, KDEB Waste Management (KDEBWM) memberi tumpuan di 242 lokasi berisiko banjir sebagai persediaan berdepan musim tengkujuh ketika ini.
Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Tahir berkata daripada jumlah itu, kawasan sekitar Majlis Bandaraya Shah Alam mencatatkan jumlah tertinggi dengan 51 lokasi diikuti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (47) dan Majlis Perbandaran Kajang (35).
[caption id="attachment_588080" align="aligncenter" width="782"] Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Dato’ Ramli Mohd Tahir pada majlis perasmian Pusat Kitar Semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
“Berikutan itu kita minta masyarakat supaya menjaga kebersihan longkang sekitar kediaman masing-masing dan pastikan saliran air tidak tersumbat bagi mengelakkan banjir.
“Jangan buang sampah ke dalam longkang dan tidak membuat binaan kekal atas struktur longkang kerana akan menyukarkan operasi pembersihan serta selenggara,” katanya.
Ramli turut mengingatkan pengusaha kedai makan supaya tidak membuang sisa minyak masak ke dalam longkang, dikhuatiri menyebabkan sistem saliran tersumbat.
“Sekiranya semua pihak prihatin dan bertanggungjawab, saluran pengairan dan longkang tak tersumbat sekali gus mampu mengelakkan kejadian banjir,” katanya.
[caption id="attachment_610521" align="aligncenter" width="779"] EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi melihat bot polis yang dipamer pada majlis pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut dan Kempen Keselamatan Aktiviti di Air di Taman Tasik Cyberjaya, Sepang pada 28 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh bermula November lalu akan berterusan sehingga Mac tahun depan.
Sebagai persediaan, Kerajaan Negeri menyediakan 10,000 pek bantuan asas merangkumi makanan kering dan keperluan harian bagi menjaga kebajikan semua mangsa.
Pentadbiran turut meminta pasukan bomba, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam menyediakan aset serta memastikannya dalam keadaan baik supaya kerja menyelamat berjalan lancar.