ad
AGENDA

WTF 2023: Beregu campuran utama negara tewaskan pasukan Jepun

15 Dis 2023, 12:28 AM
WTF 2023: Beregu campuran utama negara tewaskan pasukan Jepun

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, menghidupkan semula peluang untuk ke separuh akhir selepas bangkit mengejutkan pasangan nombor dua dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, dalam perlawanan kedua Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2023 di Hangzhou, China, semalam.

Tang Jie-Ee Wei menampilkan semangat juang tinggi untuk menewaskan Watanabe-Higashino, 12-21, 21-16, 21-16 dalam pertarungan 61 minit penuh debaran yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.

Kejayaan itu merupakan kemenangan pertama bagi beregu nombor lapan dunia itu ke atas Watanabe-Higashino selepas tiga pertemuan iaitu sejak pertembungan pertama mereka pada separuh akhir Terbuka Singapura 2023, Jun lepas.

Tang Jie-Ee Wei bakal meraih tiket separuh akhir pada kejohanan WTF sulung mereka itu, jika gandingan itu berhasil mengatasi beregu nombor enam dunia Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand dalam aksi akhir Kumpulan A esok.

Berdasarkan rekod, beregu Thailand itu mempunyai kelebihan dengan dua kemenangan daripada tiga perlawanan setakat ini.

Pertemuan awal mereka pada suku akhir Terbuka Malaysia 2023 Januari lepas berakhir dengan kemenangan 21-19, 21-9 Dechapol-Sapsiree.

Semalam, Tang Jie-Ee Wei memulakan kempen kejohanan dengan langkah kiri apabila tewas kepada beregu tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, 21-10, 21-13.

Dua beregu terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.