ad
AGENDA

Produk makanan berbungkus budak di Asia Tenggara tinggi gula, garam

14 Dis 2023, 12:00 PM
Produk makanan berbungkus budak di Asia Tenggara tinggi gula, garam

BANGKOK, 14 DIS: Produk makanan berbungkus untuk kanak-kanak berumur antara enam bulan hingga tiga tahun di Asia Tenggara didapati mengandungi paras gula dan garam yang tinggi, menurut kajian terbaharu yang dikeluarkan pada Khamis.

Selain itu, kajian berkenaan mendapati bahawa penggunaan pelabelan yang mengelirukan dan peraturan longgar mengenai komposisi dan jualan produk pada bungkusan makanan itu semakin berleluasa.

Kajian yang disokong oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan rakan kongsi Consortium for Improving Complementary Foods in Southeast Asia (Commit) itu menilai lebih 1,600 bijirin bayi, puri, snek dan makanan sedia untuk dimakan yang dipasarkan kepada kanak-kanak di Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Sebanyak 44 peratus produk didapati mengandungi gula tambahan dan pemanis, meningkat kepada 72 peratus untuk makanan ringan dan makanan jejari manakala lebih satu pertiga daripada produk melebihi paras natrium yang disyorkan, lapor Xinhua.

Dalam kajian tingkah laku pengguna, makanan pelengkap yang dihasilkan secara komersial dilihat memainkan penting dalam diet kanak-kanak Asia Tenggara dengan peningkatan jualan sebanyak 45 peratus dalam tempoh lima tahun.

Kajian juga mendapati bahawa tiada satu pun daripada tujuh negara mempunyai dasar yang selaras dengan panduan antarabangsa mengenai komposisi dan pelabelan untuk produk makanan berkenaan.

Selain itu, beberapa negara tidak mempunyai langkah undang-undang untuk mengawal kandungan gula dan garam.

Kajian turut mendapati hampir 90 peratus produk yang dinilai mendakwa produk mereka mempunyai komposisi atau kandungan nutrien seperti mengandungi bahan semula jadi, sumber vitamin dan tiada bahan tiruan.

-BERNAMA-XINHUA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.