SHAH ALAM, 14 DIS: Seramai 6,689 daripada 43,127 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) di Selangor memperoleh pangkat Mumtaz atau cemerlang tahun ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata calon yang mendapat pangkat Jayyid Jiddan (sangat baik) pula seramai 14,223 manakala pangkat Jayyid (baik) meningkat kepada 10,096 calon berbanding 9,743 tahun lalu.
Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan calon memperoleh pangkat Maqbul (lulus) juga meningkat kepada 7,638 berbanding 6,839 yang dicatatkan tahun sebelumnya, sementara itu pangkat Musaadah (perlu bimbingan) seramai 4,950.
“Pencapaian peratus kelulusan keseluruhan PSRA tahun ini ialah 88.5 peratus berbanding 88.96 peratus pada 2022. Secara umumnya keputusan tahun ini terdapat sedikit penurunan.
“Bagaimanapun, pencapaian ini bukanlah yang terendah dalam sejarah PSRA selama ia dilaksanakan namun lebih penting kejayaan melahirkan murid berketerampilan serta memiliki budi pekerti dan sahsiah,” katanya di sini hari ini.
Teks ucapan pengumuman keputusan PSRA 2023 dibaca Timbalan Pengarah Operasi Jais Salwana Ahmad Dahlan.
Mohd Shahzihan menambah peratusan lulus bagi mata pelajaran Akhlak dan Sirah mencatat 87.61 peratus, meningkat 1.04 peratus berbanding 2022 manakala bahasa Arab merekodkan 89.09 peratus lulus.
Katanya Jawi, Imlak dan Khat pula mencatat 93.84 peratus lulus, Tauhid dan Fekah (87.61 peratus), Tajwid (83.78 peratus), Ujian Tilawah dan Hafazan (99.94 peratus).
Seramai 44,202 calon PSRA di Selangor berdaftar tahun ini dan 43,127 daripada jumlah itu hadir menduduki peperiksaan membabitkan 515 pusat di 741 sekolah seluruh negeri.