ad
AGENDA

Perangkaan: Tahap kesaksamaan gender tahun lalu naik 0.2 peratus

13 Dis 2023, 12:30 PM
Perangkaan: Tahap kesaksamaan gender tahun lalu naik 0.2 peratus

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) mencatatkan purata skor 0.694 atau 69.4 peratus pada 2022, meningkat 0.2 peratus berbanding 0.692 (69.2 peratus) pada 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata tiga negeri mencatat skor MGGI tertinggi iaitu Putrajaya dengan skor 0.792, diikuti Kuala Lumpur (0.767) dan Labuan (0.736).

"Berdasarkan kepada skor MGGI 2022, kita (Malaysia) berada di kedudukan ke-93 daripada 146 negara di dunia. Pada masa yang sama, dalam kalangan negara Asia Timur dan Pasifik, Malaysia berada di kedudukan ke-11 pada 2022.

“Malaysia mendahului Timor-Leste (0.693), Brunei Darussalam (0.693), Korea Selatan (0.680), China (0.678), Vanuatu (0.678), Fiji (0.650), Myanmar (0.650) dan Jepun (0.647),” katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih Malaysia 2023 hari ini.

MGGI mengenal pasti jurang antara wanita dan lelaki dalam empat subindeks merangkumi peluang dan penyertaan ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kehidupan serta penguasaan politik

Skor dengan nilai 1.0 (100 peratus) menunjukkan kesaksamaan antara wanita dan lelaki telah dicapai.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata pencapaian wanita telah melebihi lelaki dalam subindeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.067, kesihatan dan kehidupan (0.961) manakala peluang dan penyertaan ekonomi (0.644).

“Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita masih rendah iaitu 55.8 peratus pada 2022 jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Vietnam (75.2 peratus) dan Singapura (73.2 peratus).

“Penguasaan politik merekodkan skor terendah iaitu 10.2 peratus (skor 0.102) yang menunjukkan terdapat potensi peningkatan perwakilan dan pemerkasaan wanita dalam bidang politik,” katanya.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.