ad
AGENDA

Isu penempatan kerap banjir, negeri teliti cadangan termasuk pindah ke lokasi baharu

10 Dis 2023, 8:46 AM
Isu penempatan kerap banjir, negeri teliti cadangan termasuk pindah ke lokasi baharu

SABAK BERNAM, 10 DIS: Kerajaan Negeri akan meneliti status hak milik tanah penduduk di Jalan Rantau Panjang Kanan, Bestari Jaya yang kerap dilanda banjir sebelum membuat keputusan lanjut.

Dato’ Menteri Besar berkata jika tanah tersebut milik negeri, beberapa perkara akan dipertimbangkan termasuk cadangan menggantikan penempatan baharu untuk penduduk.

“Saya akan mendapatkan maklumat lanjut mengenainya terutama berkaitan soal menyediakan penempatan baharu kepada penduduk.

“Keadaan ini bergantung dengan kawasan dan hak milik tanah. Jika ia hak milik (Kerajaan Negeri), sudah pasti kita boleh gantikannya,” kata Dato' Seri Amirudin Shari selepas merasmikan Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Simpang Lima di sini hari ini.

Sebelum ini, satu portal berita melaporkan Ahli Parlimen Kuala Selangor mencadangkan supaya kira-kira 70 penduduk melibatkan 15 rumah di Jalan Rantau Panjang Kanan, Bestari Jaya dipindahkan ke lokasi perumahan baharu bagi mengelak terus menjadi mangsa banjir.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan penduduk di situ berisiko mengalami bencana banjir disebabkan kediaman mereka hanya terletak kira-kira 10 meter dari tebing Sungai Selangor.

Penduduk turut berharap pembinaan ban di kawasan berkenaan disegerakan terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.