ad
AGENDA

Mandi kolam buatan, tiga kanak-kanak ditemui lemas

7 Dis 2023, 2:29 PM
Mandi kolam buatan, tiga kanak-kanak ditemui lemas

KOTA KINABALU, 7 DIS: Tiga kanak-kanak berusia antara 7 hingga 11 tahun ditemukan lemas ketika mandi di dalam sebuah kolam buatan di Kampung Perpaduan Ria 1, Kudat petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat Ishak Jabas berkata berdasarkan maklumat awal, dua kanak-kanak lelaki terbabit dikenali sebagai Wan Hermi, 11, dan Mohd Syahwan, 7, manakala seorang kanak-kanak perempuan dikenal pasti sebagai Nurul Isah, 11.

“Ketika kejadian, tiga kanak-kanak terbabit dipercayai mandi di dalam kolam yang digali untuk tujuan pembinaan. Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.36 petang.

“Sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera serta EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) digerakkan ke lokasi kejadian. Sebaik tiba di situ, ketiga-tiga mangsa telah dibawa keluar dari kolam oleh orang awam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ishak berkata kesemua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri telah diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh pegawai perubatan dan EMRS, sebelum dibawa ke Hospital Kudat untuk tindakan lanjut.

“Maklumat yang diperoleh daripada pihak perubatan hospital itu mengesahkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia,” katanya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.