ad
AGENDA

Lebih 50 rumah percuma untuk veteran ATM dibina tahun depan

7 Dis 2023, 8:18 AM
Lebih 50 rumah percuma untuk veteran ATM dibina tahun depan

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Lebih 50 rumah percuma untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpencen dan tidak berpencen dijangka dibina tahun depan menerusi program Inisiatif Rumah Peduli Veteran.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata jumlah itu merupakan tambahan kepada 44 rumah yang telah dan sedang dibina di seluruh negara dengan melibatkan peruntukan tambahan RM1 juta.

"Sehingga kini 80 peratus daripada 44 rumah veteran itu telah siap dibina dan kunci unit berkenaan telah diserahkan kepada pemilik di seluruh negara, dengan kos pembinaan setiap unit dianggarkan RM85,000," katanya.

Adly berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu untuk Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI bagi Kementerian Pertahanan di Bernama Radio di sini hari ini.

Mengenai Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok di Bukit Jalil, Adly berkata Kementerian Pertahanan akan mempamerkan sebahagian aset-aset tentera selain menayangkan filem bertajuk Misi Bakara.

“Selain itu, terdapat juga reruai-reruai kerjaya di bawah Kementerian Pertahanan yang menyediakan peluang pekerjaan dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu laut, udara dan darat serta bidang siber,” katanya.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.