ad
AGENDA

'Inspektor Dani', 'Sarjan Suraya' perdaya pesara tentera libat kerugian RM125,000

5 Dis 2023, 8:23 AM
'Inspektor Dani', 'Sarjan Suraya' perdaya pesara tentera libat kerugian RM125,000

ALOR GAJAH, 5 DIS: Pesara tentera kerugian RM125,000 apabila wang simpanan saraannya lesap akibat terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai wakil Pos Laju dan polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata lelaki berusia 40-an itu menerima panggilan telefon kira-kira 10.30 pagi, Sabtu lalu yang mendakwa wakil Pos Laju Kuala Lumpur kerana terdapat bungkusan tidak dituntut.

"Mangsa dimaklumkan beliau mempunyai barang terlarang seperti kad pengenalan dan kad kredit yang menyebabkan bungkusan itu disita oleh kastam.

"Panggilan itu kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan mangsa bercakap dengan 'Sarjan Suraya' untuk membuat laporan sebelum dimaklumkan kesnya diambil alih 'Inspektor Dani'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata mangsa kemudian turut dimaklumkan bahawa dia terlibat dalam kegiatan dadah dan pengubahan wang haram.

Beliau berkata panggilan itu kemudian disambungkan ke peringkat tertinggi untuk membuat aduan dan rayuan selain mangsa turut dimaklumkan semakan terhadap akaun banknya perlu dibuat dan akan merujuk perkara berkenaan kepada Bank Negara.

"Mangsa diminta membuat bayaran untuk siasatan dan pembersihan dana. Mangsa melakukan transaksi wang simpanan persaraannya secara berperingkat pada Sabtu dan Ahad lalu sebanyak tiga kali ke dua akaun bank suspek berjumlah RM125,000.

"Mangsa menghubungi IPK Pulau Pinang untuk membuat semakan dan mahu bercakap dengan Sarjan Suraya dan Inspektor Dani, namun pengadu dimaklumkan dirinya telah ditipu dalam urusan berkenaan," katanya.

Arshad berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.