ad
AGENDA

Tiga rakyat Malaysia terkandas di Myanmar diterbang ke Bangkok esok

3 Dis 2023, 2:00 PM
Tiga rakyat Malaysia terkandas di Myanmar diterbang ke Bangkok esok

BANGKOK, 3 DIS: Sekumpulan 83 warga Thailand dan tiga rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, utara Myanmar berikutan pergolakan di wilayah itu akan diterbangkan ke Bangkok pada Isnin.

Kementerian Luar Thailand berkata Kedutaan Diraja Thailand (RTE) di Yangon yang menyelaras dengan agensi-agensi berkaitan dan negara-negara jiran berjaya membantu kumpulan itu meninggalkan Laukkaing.

“Kumpulan itu kini selamat berlepas dari Myanmar dan akan diterbangkan ke Thailand dengan penerbangan sewa Thai Lion Air dan dijangka tiba pada 1.40 pagi (waktu tempatan) pada Isnin.

“Polis akan memudahkan tatacara kemasukan mereka dan memulakan saringan pemerdagangan orang melalui Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) serta untuk rekod jenayah,” menurut Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan.

Bernama difahamkan terdapat tiga rakyat Malaysia dalam kumpulan itu yang akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada Isnin.

Berikutan pertempuran sengit antara tentera junta dan kumpulan bersenjata etnik di Myanmar, Thailand memindahkan lebih 200 warga Thailand dari Laukkaing.

Pada 1 Dis, seramai 121 rakyat Malaysia berumur antara 20-an dan 50-an, kebanyakannya mangsa penipuan pekerjaan yang terkandas di Laukkaing dipindahkan dan dibawa pulang.

Mereka termasuk seorang warga Indonesia diterbangkan ke Malaysia melalui penerbangan khas AirAsia dari Kunming, China.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.