ad
AGENDA

Bomba selamatkan kanak-kanak tersepit pada tingkap rumah

27 Nov 2023, 2:25 PM
Bomba selamatkan kanak-kanak tersepit pada tingkap rumah

MELAKA, 27 NOV: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun diselamatkan anggota bomba selepas tersepit pada tingkap rumahnya di Pangsapuri Pasir Puteri, Ujong Pasir di sini hari ini.

Difahamkan kejadian dipercayai berlaku ketika kanak-kanak itu cuba membantu menghulurkan kunci kepada bapanya yang berada di luar rumah melalui laluan koridor tingkat tiga pangsapuri itu kerana pintu hadapan rumah mereka terkunci.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nor Mohd Sheh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian kira-kira 1.10 tengah hari dan enam anggota bomba tiba di lokasi terbabit enam minit kemudian.

"Kunci itu tidak sempat diberikan (kepada bapanya) kerana mangsa telah tersepit. Bapa kanak-kanak itu cuba membantu dengan memecahkan tombol pintu, namun pintu itu tidak berjaya dibuka.

"Apabila tiba di rumah itu, pihak bomba terpaksa memecahkan pintu berkenaan dan mendapati kanak-kanak terbabit tersepit pada celah tingkap," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa tanpa mengalami sebarang kecederaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.