KUALA KRAI, 17 NOV: Seorang warga emas di Kampung Tanjung Kala, di sini, mulai sibuk sejak awal bulan ini membaik pulih rumah rakit miliknya sebagai persediaan menghadapi bencana banjir berikutan fasa peralihan monsun timur.
Tuan Nor Tuan Deris, 66, berkata rumah rakit tersebut dibina pada 2015, setahun selepas beliau sekeluarga berdepan bencana bah kuning pada 2014 hingga menyebabkan rumahnya ditenggelami air.
Tuan Nor berkata setiap tahun kawasan rumahnya sentiasa mengalami banjir justeru rumah rakit itu dijadikan tempat tinggal sementara bersama sembilan lagi ahli keluarga dalam tempoh bencana.
"Bahagian dinding dan lantai rumah rakit ini dibina menggunakan kayu, di bahagian bawah pula diletakkan tong dram plastik bagi memastikan ia terapung apabila berlaku banjir.
"Sebelum ini saya gunakan 16 tong dram plastik, tahun ini saya tambah lagi lapan bagi memastikan ia lebih stabil ketika terapung," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Bercerita lanjut, Tuan Nor berkata rumah rakit itu ditempatkan kira-kira 10 meter dari kediamannya.
Menurut beliau bagi mengelakkan rumah rakit itu dihanyutkan, ia diikat pada pokok besar yang terletak berhampiran.
"Apabila tiba musim tengkujuh, kami akan pindahkan dokumen penting dan peralatan elektrik ke rumah rakit ini sebagai persediaan awal untuk berdepan kemungkinan banjir.
"Alhamdulillah rumah ini menjadi penyelamat sementara kami sekeluarga sebelum berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.
- BERNAMA