ad
AGENDA

Penemuan rangka manusia bawah jambatan tiada unsur jenayah

16 Nov 2023, 1:19 AM
Penemuan rangka manusia bawah jambatan tiada unsur jenayah

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Polis mengesahkan penemuan rangka manusia di kawasan belukar di bawah jambatan Jalan Persiaran Putra, Putra Heights, dekat Subang, pada Jumaat lalu tiada unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata siasatan polis bersama pakar patologi Hospital Serdang semalam mendapati rangka berkenaan tiada kecederaan lain.

Beliau berkata hasil laporan patologi mendapati terdapat empat kesan patah pada rangka manusia berkenaan iaitu pada tulang tangan kanan (Humerus), lengan tangan kanan (Ulna), tulang rusuk bahagian kanan dan tulang pinggul (Girdel Pelvis) bahagian kanan.

“Kesan patah pada tulang berkenaan adalah selari dengan tempat kejadian berdasarkan pada anggaran ketinggian dan juga tempat mangsa itu jatuh,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Berikutan itu, ahli keluarga mangsa telah tampil berjumpa pegawai penyiasat setelah mendapat tahu berita penemuan rangka manusia itu disiarkan media.

Jumaat lalu, polis menerima laporan penemuan rangka dipercayai lelaki warga Indonesia iaitu pekerja yang menjalankan kerja penyelenggaraan sistem LRT di substesen Putra Height pada 12.15 tengah hari.

Rangka manusia itu dikenali sebagai Riki Mandaguna, berusia 40 tahun dan beralamat di Kota Samarinda, Kisaran, Indonesia dan mangsa berkemungkinan meninggal dunia di antara tiga hingga enam minggu lalu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.