ad
AGENDA

161 pusat aktiviti warga emas beroperasi libat lebih 50,000 ahli

14 Nov 2023, 6:52 AM
161 pusat aktiviti warga emas beroperasi libat lebih 50,000 ahli

SHAH ALAM, 14 NOV: Sebanyak 161 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) ditubuh dan masih beroperasi seluruh negara setakat Oktober lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato' Sri Nancy Shukri berkata lebih 50,000 ahli PAWE terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, bangsa dan sosioekonomi.

"PAWE merupakan sebuah pusat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dan ia ditubuhkan melalui pembabitan oleh komuniti dan pertubuhan sukarela kebajikan dengan mendapat sokongan dana daripada kerajaan.

"Ia bertujuan memupuk dan menyokong Dasar Warga Emas Negara yang berhasrat mewujudkan warga emas berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat dan positif," katanya.

Beliau menjawab soalan Wong Kah Woh (HARAPAN-Taiping) yang ingin mengetahui jumlah PAWE yang masih wujud dan aktif di Dewan Rakyat hari ini.

Nancy yang juga ahli parlimen Santubong berkata pihaknya melulus permohonan penubuhan empat PAWE baharu tahun ini membabitkan negeri Perak, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

"Justeru, kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang berhasrat menubuhkan PAWE di kawasan mereka boleh kemukakan cadangan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah.

"Cadangan ini akan dinilai berdasarkan beberapa kriteria yang diambil kira seperti bilangan warga emas, lokasi, pemilihan premis dan komuniti penggerak," jelasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.