ad
BERITA UTAMA

Negeri laksana kursus profesional asuh kanak-kanak tahun depan

9 Nov 2023, 12:00 PM
Negeri laksana kursus profesional asuh kanak-kanak tahun depan

SHAH ALAM, 9 NOV: Program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Selangor (IMPAK Selangor) akan dilaksanakan sepenuhnya tahun depan, kata EXCO pembangunan wanita.

Menurut Anfaal Saari, program tersebut menawarkan latihan atau kursus penjagaan kanak-kanak dengan menumpukan pengasuh yang mempunyai anak asuhan tidak melebihi empat orang.

“Program ini untuk manfaat pengasuh di rumah yang tidak berdaftar. Menerusi program ini, mereka dibantu dengan kursus yang menawarkan kemahiran profesional.

“Pengasuh di rumah juga memerlukan kemahiran dalam penjagaan dan penting bagi memastikan kanak-kanak ini dijaga dengan kaedah yang betul, sekali gus menjaga keselamatan,” katanya di sini.

Bercakap dalam temu bual khas di pejabatnya di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, Anfaal

berkata garis panduan pembukaan taska juga akan diwujudkan bagi memudahkan permohonan.

Menurut wakil rakyat Taman Templer itu, kebanyakan permohonan agak sukar berikutan garis panduannya berlainan mengikut pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing.

“Permohonan lebih mudah dengan garis panduan, namun masih mengikut peraturan demi keselamatan.

Negeri mahu gunakan pendekatan lebih mesra kerana setiap permohonan memerlukan kos tinggi,” katanya.

IMPAK Selangor adalah program kendalian Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) untuk membantu pengasuh tidak berdaftar terutama di rumah mendapat lesen sebelum diberikan latihan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.