ad
AGENDA

Kerajaan tubuh jawatankuasa kaji isu jerebu rentas sempadan

7 Nov 2023, 3:38 PM
Kerajaan tubuh jawatankuasa kaji isu jerebu rentas sempadan

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji isu berkaitan jerebu rentas sempadan termasuk penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THA).

NRECC dalam kenyataan memaklumkan satu bengkel juga akan diadakan bagi mengkaji serta mendalami semua idea dan dijadual berlangsung selepas Persidangan ke-28 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim (COP 28).

“Dalam usaha untuk mencari penyelesaian, satu jawatankuasa terdiri daripada jabatan-jabatan Kementerian, pakar, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli panel penasihat dan konsultasi akan ditubuhkan untuk mengkaji isu ini.

“NRECC sekali lagi menegaskan bahawa kementerian ini tidak menutup pintu terhadap cadangan penggubalan rang undang-undang sebagai mekanisme untuk menangani isu jerebu rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

NRECC juga sedang dalam fasa pengumpulan maklum balas dari agensi kerajaan, Jabatan Peguam Negara dan NGO bagi mendapat pandangan pelbagai sudut merangkumi langkah jangka masa pendek dan panjang dalam menangani masalah jerebu merentas sempadan.

“Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad secara konsisten telah menyatakan bahawa penggubalan undang-undang THA perlu diteliti secara menyeluruh mengambil kira segala cabaran dan sekatan khususnya kebolehlaksanaan akta ini berdasarkan pengalaman negara-negara yang sudah mempunyai akta sama seperti Singapura,” menurut kenyataan itu.

NRECC memaklumkan terdapat contoh instrumen perundangan paling berjaya setakat ini iaitu Perjanjian Kualiti Udara Kanada-Amerika Syarikat kerana kedua-dua negara terlibat mampu menerimanya dan terdapat sebuah badan untuk menguruskan perjanjian itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.