ad
BERITA UTAMA

Selangor idam juarai SUKMA 2024, tumpu acara mampu tuai pingat

1 Nov 2023, 7:06 AM
Selangor idam juarai SUKMA 2024, tumpu acara mampu tuai pingat
Selangor idam juarai SUKMA 2024, tumpu acara mampu tuai pingat

SHAH ALAM, 1 NOV: Bersandarkan prestasi terkini atlet negeri, Selangor menyasarkan tempat teratas kedudukan pingat bagi diangkat sebagai juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata Majlis Sukan Negeri Selangor memberi fokus khusus kepada acara diyakini mampu menuai pingat di samping memastikan setiap sukan bertanding mendapat perhatian sewajarnya.

[caption id="attachment_606062" align="aligncenter" width="799"] EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan Mohd Najwan Halimi berucap pada majlis penyerahan tugas portfolio Belia dan Sukan di Majlis Sukan Negeri Selangor, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 24 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

“Proses persiapan dan latihan telah bermula dan insya-Allah kita akan bagi yang terbaik untuk SUKMA nanti dengan prospek pingat emas kita termasuk bagi acara sukan seperti akuatik, olahraga, boling padang, boling, menembak dan memanah," katanya.

Sarawak dipilih sebagai tuan rumah penganjuran SUKMA edisi ke-21 itu yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos tahun depan.

Beliau berkata Selangor telah melahirkan ramai nama besar dalam sukan termasuk atlet gimnastik Farah Ann Abdul Hadi, Gavin Kyle Green (golf) dan Lee Hup Wei (olahraga) hasil pelaksanaan program pembangunan sukan negeri.

“Selangor telah menjalankan pelbagai program pembangunan dari peringkat akar umbi seterusnya ke program elit, dan dengan penyertaan atlet kita di SUKMA mampu menonjolkan kemampuan mereka bagi mewakili Malaysia ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata Kerajaan Negeri menyambut baik peruntukan RM50 juta untuk penyelenggaraan dan naik taraf kemudahan sukan seluruh negara menerusi Belanjawan 2024.

“Sehingga kini lebih 70 fasiliti sukan dibaik pulih dan dinaik taraf oleh kerajaan negeri mengikut standard peraturan dan spesifikasi khas sukan dan kita berharap peruntukan dalam Belanjawan 2024 ini dapat disalurkan kepada Selangor untuk naik taraf dan selenggara fasiliti sukan di kampung dan baik pulih stadium daerah,” katanya.

Beliau berkata fasiliti sukan baharu juga perlu dibina di kawasan perumahan baharu di negeri itu termasuk di bandar Elmina, Rimbayu, Kuala Langat dan Rawang.

Mengenai proses perobohan Stadium Shah Alam untuk digantikan dengan Kompleks Sukan Shah Alam, katanya kerja-kerja akan dilakukan akhir tahun ini dalam masa dua bulan dengan mengambil kira bentuk muka bumi, struktur bangunan dan keselamatan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.