ad
AGENDA

Menteri: Program sawah ala Sekinchan diperluas ke seluruh negara

29 Okt 2023, 5:49 AM
Menteri: Program sawah ala Sekinchan diperluas ke seluruh negara
Menteri: Program sawah ala Sekinchan diperluas ke seluruh negara

JERTIH, 29 OKT: Kerajaan sedang memperhebatkan lagi Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia bagi menampung keperluan beras tempatan terutama bagi negeri yang terjejas dengan musim tengkujuh.

[caption id="attachment_572604" align="aligncenter" width="728"] Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Program Lawatan Kerja ke Jelapang Padi Negeri Selangor di Tali Air Tiga Sungai Burong, Sekinchan pada 6 Mac 2023. Foto BERNAMA[/caption]

"Sekarang ini pengeluaran padi di Sabah dan Sarawak pun masih di paras rendah untuk mencukupkan keperluan bagi penduduk mereka.

"Tetapi kita yakin dalam jangka masa panjang kedua-dua negeri tersebut boleh menjadi negeri jelapang padi, bukan sahaja pengeluarannya cukup untuk penduduk dalam negeri tetapi dapat juga mereka bekalkan beras ke negeri-negeri lain nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Santai Agro Madani Penuaian Program SMART SBB Ala Sekinchan di Dewan Terbuka Kampung Gerai di sini hari ini.

Beliau berkata selain Sabah dan Sarawak, kementeriannya juga menerima kerjasama baik daripada kerajaan negeri lain seperti Pahang dan Johor, bagi menjalankan program itu yang menerapkan amalan penanaman padi secara bersepadu menggunakan teknologi moden untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil.

Mohamad berkata SMART SBB Ala Sekinchan yang diperkenalkan akhir tahun 2021 sedang dilaksanakan di seluruh negara melibatkan hampir 10,000 pesawah dengan keluasan lebih 26,000 hektar.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan akan meneliti semula jadual penanaman padi terutama di negeri Pantai Timur bagi membolehkan padi dituai sebelum musim tengkujuh.

Hal itu katanya bagi mengurangkan kerugian ditanggung petani yang mempunyai sawah di kawasan berisiko banjir.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.