ad
AGENDA

Tze Yong tewas di tangan Shi Feng dalam saingan separuh akhir Terbuka Perancis

29 Okt 2023, 4:05 AM
Tze Yong tewas di tangan Shi Feng dalam saingan separuh akhir Terbuka Perancis

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Pemain badminton perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong masih terus gagal menundukkan pemain China Li Shi Feng dalam pertembungan mereka sehingga kini, dengan yang terbaru kemaraan beliau disekat oleh Shi Feng dalam saingan separuh akhir Terbuka Perancis 2023 di Rennes, Sabtu.

Dalam perlawanan yang berlangsung selama 47 minit di Arena Glaz itu, pemain bukan pilihan Tze Yong, kalah kepada pemain pilihan kelapan Shi Feng dengan 17-21, 12-21.

Pada perlawanan akhir bagi merebut gelaran juara nanti, Shi Feng akan berentap dengan pemain pilihan kelima Jonatan Christie, yang telah menewaskan bekas juara dunia 2021 dari Singapura Loh Kean Yew dengan 21-18, 21-13.

Ini merupakan kekalahan Tze Yong buat kali kelima berturut-turut di tangan Shi Feng sejak pertembungan mereka yang pertama pada tahun 2017 dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia di Indonesia.

Pencapaian terbaik Tze Yong tahun ini ialah pada Terbuka Artik 2023 di Vantaa, Finland, apabila beliau menamatkan saingan dengan gelaran naib juara selepas tewas kepada rakan senegara Lee Zii Jia, 14-21, 15-21, baru-baru ini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.