ad
AGENDA

Rakyat Malaysia ditahan seludup dadah ke Australia, polis kenal pasti ahli sindiket

27 Okt 2023, 3:26 PM
Rakyat Malaysia ditahan seludup dadah ke Australia, polis kenal pasti ahli sindiket

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Australia (AFP), bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 622 kilogram di Melbourne dan penahanan seorang rakyat Malaysia dalam kes itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata lelaki yang ditangkap pada 12 Oktober itu, telah dikenakan tindakan di bawah undang-undang negara itu di bawah Section 307.5 (10) of The Criminal Code : Attempting To Possess a Commercial Quantity of a Border Controlled Drug.

“Hukuman kesalahan itu boleh membawa kepada penjara seumur hidup,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Kamarudin berkata PDRM dan AFP akan meneruskan usaha mengesan saki-baki ahli sindiket yang terlibat dalam kes berkenaan.

Terdahulu, PDRM mengesahkan telah mengenal pasti beberapa individu di negara ini disyaki menyeludup dadah jenis itu ke Melbourne.

Menurut laporan media tempatan hari ini, empat lelaki didakwa selepas kira-kira 622 kilogram methamphetamine, ditemui tersembunyi di dalam kargo berisi tisu tandas.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.