ad
AGENDA

Menteri: Jakim gubal pelan, pastikan OKU muslim lebih hayati Islam

25 Okt 2023, 11:28 AM
Menteri: Jakim gubal pelan, pastikan OKU muslim lebih hayati Islam

CYBERJAYA, 25 OKT: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menggubal Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) Muslim dalam usaha memastikan golongan itu mendapat kefahaman dan penghayatan yang baik tentang Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata pelan tersebut dibangunkan bagi mendukung Pelan Tindakan OKU Kebangsaan dan Dasar OKU Negara yang sedia ada di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata Jakim menjalinkan kerjasama dengan majlis dan jabatan agama Islam negeri, kementerian dan agensi berkaitan untuk mendapatkan idea serta pandangan supaya pelaksanaan pelan tersebut lebih holistik dan bersepadu.

"Sistem sokongan kepada OKU mesti ditingkatkan dan usaha untuk menjadikan masyarakat lebih cakna kepada golongan itu perlu mendapat sokongan pelbagai pihak khususnya agensi serta institusi Islam," katanya dalam ucapan pada Program Penerapan Sejarah 25 Rasul melalui Digital Kreatif di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata pendedahan berkenaan sejarah para rasul dan nabi melalui visualisasi grafik dapat memberikan manfaat pembelajaran kepada kanak-kanak autisme dan bukan autisme.

"Menggunakan pendekatan kreatif khususnya kemahiran digital, kanak-kanak istimewa seperti autisme dapat belajar tentang sejarah Islam. Dalam apa jua keadaan, kita mesti memberikan pendidikan khususnya pendidikan agama kepada anak-anak kita mengikut kadar kemampuan mereka," katanya

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.