ad
AGENDA

Bapa, teman wanita ditahan dipercayai dera kanak-kanak lelaki

18 Okt 2023, 1:14 AM
Bapa, teman wanita ditahan dipercayai dera kanak-kanak lelaki

JOHOR BAHRU, 18 OKT: Pasangan kekasih ditahan Jumaat lalu selepas disyaki mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Pulai di sini.

Ketua Polis Daerah IPD Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin berkata kanak-kanak itu adalah anak kepada lelaki berumur 37 tahun manakala teman wanitanya berusia 39 tahun.

Beliau berkata kedua-dua individu itu ditahan susulan laporan polis yang diterima pada 4.13 petang, hari sama.

"Menurut pengadu yang juga seorang wanita, dia menerima maklumat bahawa kanak-kanak itu berada dalam tandas sebuah rumah dalam keadaan kurus serta tidak bermaya.

"Polis kemudiannya membawa kanak-kanak itu ke balai polis. Terdapat kesan pukul pada tubuh mangsa dan juga kesan pukul lama. Susulan itu, polis menahan kedua-dua pasangan kekasih berkenaan," katanya ketika dihubungi malam ini.

Menurut Rahmat berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu didapati tidak bersekolah dan tinggal bersama bapa kandungnya serta teman wanita bapanya.

Katanya, kanak-kanak berkenaan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan dalam keadaan stabil.

Beliau berkata kedua-dua individu itu direman sejak Jumaat lalu hingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.