ad
AGENDA

Pengajaran hadis Imam Nawawi diperluas tahun depan libatkan murid Islam

17 Okt 2023, 8:26 AM
Pengajaran hadis Imam Nawawi diperluas tahun depan libatkan murid Islam

SHAH ALAM, 17 OKT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang memperluas pengajaran Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi ke semua sekolah seliaannya mulai tahun depan dengan hanya melibatkan murid beragama Islam.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata modul mengandungi 42 hadis yang terkandung dalam buku Hadis 40 Imam Nawawi dibangunkan Kementerian Pendidikan dan diselaraskan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Ini bagi memastikan syarah atau kupasan hadis dalam modul tersebut sesuai dengan tahap pemahaman murid dan konteks Malaysia.

“Modul penghayatan ini bukanlah mata pelajaran baharu namun ia merupakan bahan pengayaan bagi mata pelajaran Pendidikan Islam.

“Oleh yang demikian modul yang digunakan tiada pertindanan dengan mata pelajaran Pendidikan Islam sedia ada,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Roslan Hashim di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina berkata tahun ini KPM melaksanakan aktiviti penghayatan hadis 40 secara rintis di sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).

“Inisiatif ini berupaya mengangkat kemuliaan insan bertepatan Teras Kedua KPM yang merangkumi tiga elemen utama penghayatan nilai iaitu adab, akhlak dan integriti.

“Usaha ini juga bertujuan membentuk sahsiah dan nilai yang baik selain memupuk semangat kasih sayang serta menerapkan kefahaman agama dalam kalangan murid Islam ke arah melahirkan generasi Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC).

“Aktiviti penghayatan ini juga menyokong elemen dalam rukun Malaysia Madani khususnya yang berkaitan dengan hormat dan ihsan,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan program penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi ini hanya akan melibatkan semua murid Islam sahaja tanpa pelibatan murid bukan Islam dalam semua aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.