ad
AGENDA

Solidariti Palestin: Guna saluran aman, elak pergerakan ke kawasan konflik

13 Okt 2023, 6:21 AM
Solidariti Palestin: Guna saluran aman, elak pergerakan ke kawasan konflik

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta rakyat negara ini untuk menggunakan saluran dan medium yang aman sejahtera dalam menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata semua lapisan masyarakat yang ingin menyalurkan sebarang bentuk bantuan juga dinasihat agar menyemak kesahihan wakil yang menguruskan sumbangan serta mengambil langkah teliti bagi mengelak daripada menjadi mangsa scammer.

“Masyarakat perlu berwaspada untuk mengelak daripada terjerat dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang cuba mengaut keuntungan...iringan doa dan sokongan moral rakyat Malaysia, merupakan solidariti terbaik kepada warga Palestin yang ditindas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman juga akan meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pihak dikesan cuba mengambil kesempatan.

Razarudin turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat pergerakan ke kawasan konflik atas faktor keselamatan.

Katanya PDRM telah menggerakkan elemen berkaitan khususnya cawangan khas bagi memastikan tiada penglibatan rakyat Malaysia sehingga mewujudkan risiko keselamatan diri.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, iaitu pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Okt lepas, telah mengorbankan ratusan nyawa di kedua-dua belah pihak.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.