ad
AGENDA

Kemenangan Pelangai tiup semangat Kerajaan Perpaduan majukan negara

8 Okt 2023, 3:15 AM
Kemenangan Pelangai tiup semangat Kerajaan Perpaduan majukan negara

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, semalam.

Dalam perkongsian menerusi Facebook beliau, Anwar berkata kemenangan itu menjadi kesinambungan kecemerlangan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, hasil kesepaduan kerjasama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang berjaya mendobrak naratif fitnah dan perkauman sempit.

“Ia juga meniup semangat kepada Kerajaan Perpaduan untuk terus merancakkan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat berlandaskan kerangka ekonomi Madani,” menurut catatan itu.

Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang terus memberi kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan, serta menzahirkan penghargaan kepada barisan jentera yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan itu.

Amizar, 53, yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bentong memenangi kerusi Pelangai dengan majoriti 2,949 undi.

Beliau memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni yang hanya meraih 47 undi, sekali gus hilang wang deposit.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.