ad
AGENSI

PKNS hasrat ketengah usahawan ke pameran niaga bertaraf antarabangsa

7 Okt 2023, 9:00 AM
PKNS hasrat ketengah usahawan ke pameran niaga bertaraf antarabangsa

SHAH ALAM, 7 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berhasrat mengetengahkan usahawan bimbingannya ke eskpo produk halal antarabangsa di Osaka, Jepun pada 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mahmud Abbas berkata pameran perniagaan tersebut memberi peluang usahawan menjana potensi perdagangan dan pelaburan ke peringkat global.

“Kita sasar untuk bawa 25 hingga 50 usahawan ke ekspo usahawan halal antarabangsa di Osaka kerana di situ ada peluang untuk mereka melebarkan sayap dengan lebih luas.

“Untuk capai sasaran itu, kita perlukan usahawan yang sudah kukuh dan mahu berkembang dalam bidang eksport, dan kita sedang bimbing usahawan berpotensi,” katanya pada sidang media.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian Ekspo Usahawan Selangor 2023 (SELBIZ 2023) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini hari ini. Ia dirasmikan EXCO keusahawanan Najwan Halimi.

SELBIZ 2023 yang bermula semalam hingga esok menampilkan pelbagai program seperti jualan fiesta kopi, cabutan bertuah, larian santai dan ceramah keusahawanan.

Turut ditampilkan persembahan artis popular antaranya Tomok, Ernie Zakri, Amir Masdi, Floor 88 dan Ara Johari pada konsert malam ini.

SELBIZ edisi pertama yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada September tahun lalu berjaya menarik penyertaan 149 pempamer serta 5,000 pengunjung.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.