ad
AGENDA

Hijrah bantu usahawan jana pendapatan, pasarkan produk di Shopee

3 Okt 2023, 9:00 AM
Hijrah bantu usahawan jana pendapatan, pasarkan produk di Shopee

SHAH ALAM, 3 OKT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) memperkenal kedai dalam platform e-dagang Shopee bagi membantu memasarkan produk usahawan negeri ini.

Eksekutif kewangannya berkata Hijrah Official Store memfokuskan produk sedia dimakan dan dimasak dengan tujuh usahawan dihimpunkan di medium itu sejak dilancar semalam.

Mohamad Zuraidi Mohamed Nawi menjelaskan inisiatif itu sebagai strategi tambahan untuk usahawan mengetengahkan produk masing-masing sekali gus menjana pulangan tinggi.

“Untuk permulaan, kita mengehadkan lebih kurang 10 ke 15 unit simpanan stok (SKU) dalam platform ini bagi setiap produk dan akan bertambah apabila ada permintaan pembeli.

“Kebanyakan usahawan sudah ada kaedah pemasaran sedia ada termasuk kedai fizikal dan penyertaan dalam acara tertentu. Kali ini kita bantu guna platform dalam talian pula,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menjangkakan 30 hingga 50 usahawan berdaftar menjadi vendor dalam platform itu menjelang akhir tahun dengan hebahan di media sosial akan dipergiat bagi mencapai sasaran tersebut.

“Maklum balas sangat positif dan ramai usahawan berminat untuk daftar. Cuma bulan ini kita ambil dahulu 10 usahawan kerana kita mahu mencantikkan kedai terutama daripada segi poster dan keterangan produk.

"Paling menarik, usahawan tidak dikenakan sebarang caj pendaftaran untuk menjadi vendor dalam plaftorm ini,” katanya lagi.

Orang ramai yang berminat mendapatkan produk usahawan boleh berbuat demikian melalui pautan https://shopee.com.my/yhsjana dengan pembelian RM50 ke atas dikecualikan caj penghantaran.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.