ad
AGENDA

Banting antara kawasan catat IPU tidak sihat

1 Okt 2023, 7:41 AM
Banting antara kawasan catat IPU tidak sihat

SHAH ALAM, 1 OKT: Banting dan lapan kawasan lain di Semenanjung merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 3 petang hari ini.

Laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) mencatatkan bacaan IPU di Banting adalah 114.

IPU tertinggi direkodkan di Larkin, Johor dengan bacaan 156. Selain itu IPU tidak sihat direkodkan di Seberang Jaya, Pulau Pinang (117); Cheras, Kuala Lumpur (128); dan Batu Pahat (123).

Di Negeri Sembilan, Nilai mencatatkan bacaan IPU 151, manakala Port Dickson (143). Dua lokasi di Melaka turut terjejas iaitu di Bukit Rambai (153) dan Bandaraya Melaka (109).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk laman web APIMS, https://apims.doe.gov.my/home.html untuk mengetahui tahap indeks udara terkini.

Mei lalu, pihak berkuasa cuaca dan iklim memberi amaran berlakunya jerebu lebih serius di rantau selatan Asean antara Jun dan Oktober tahun ini.

Amaran itu dibuat ketika musim kemarau diramal berlaku lebih teruk dan berpanjangan daripada biasa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.