SANDAKAN, 28 SEPT: Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), menumpaskan sindiket penyeludupan barangan makanan sejuk beku dari loji yang tidak diiktiraf, dianggarkan bernilai RM2,722,604 di sini malam tadi.
Timbalan Pengarah JKDNKA (Gerakan) Datuk Mohd Hishamudin Tahar berkata serbuan ke atas sebuah premis di kawasan perindustrian ringan di sini, merampas sejumlah 9,782 kotak mengandungi pelbagai bahagian daging ayam seperti sayap, paha dan dada.
“Sembilan individu terdiri daripada lima lelaki dewasa tempatan dan empat lelaki dewasa asing, diperiksa dalam serbuan di sini. Kes disiasat di bawah Enakmen Haiwan Sabah 2015.
“PDRM melalui JKDNKA sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam, serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi agar hasil negara sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya selepas meninjau barangan rampasan itu di premis berkenaan hari ini.
Mohd Hishamudin berkata sejak Januari lalu, WCB/PSK berjaya melancarkan lapan serbuan di Sabah dan dua di Sarawak, terhadap kumpulan sindiket penyeludupan barangan makanan sejuk beku dengan nilai rampasan dianggarkan RM44,281,391.70.
Pengarah JPVS Dr Normah Yusop berkata pihaknya meragui kegiatan premis itu sejak tahun lalu lagi, namun dengan kerjasama PDRM, terutama menerusi PGA, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah membuat pendekatan serbuan yang lebih bersepadu.
“Kita mengesyaki barangan (daging ayam) diimport dari loji tidak diiktiraf di China, Australia, Denmark dan Poland, iaitu loji yang tidak mempunyai sijil halal.
“Barangan ini disyaki untuk pasaran tempatan, juga pulau di Filipina,” katanya.
- BERNAMA