KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Pemandu lori parah ditetak dalam kejadian di sebuah rumah di Pandan Perdana, dekat sini kelmarin dipercayai berpunca dendam lama.
Selain pergelangan tangannya parah, mangsa, 43, turut cedera akibat dua kesan tetakan pada belakang badan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian diketahui isteri mangsa kira-kira jam 4.15 petang menerusi mesej WhatsApp yang dihantar suaminya.
"Siasatan awal mendapati mangsa ke rumah terbabit yang pernah dihuninya bersama keluarga sebelum ini bagi tujuan mengambil surat.
"Ketika di rumah itu, seorang lelaki datang menyerang dan menetak mangsa menggunakan senjata tajam. Mangsa yang parah kemudian dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan," katanya melalui kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan pengutip sampah berusia 28 tahun kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam di Taman Setapak Jaya di sini.
"Polis turut merampas sehelai baju serta sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
"Soal siasat ke atas suspek mendapati kejadian dipercayai bermotifkan dendam kerana mangsa dan beberapa rakannya didakwa pernah memukul suspek sebelum ini.
"Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau kesalahan jenayah, manakala ujian awal saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ganja," katanya.
Suspek direman tujuh hari sehingga 3 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh.