GOMBAK, 28 SEPT: Perarakan Maulidur Rasul anjuran Masjid Jamek Kampung Nakhoda di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di sini berlangsung meriah dengan lebih 700 peserta hadir sejak 7.30 pagi.
Acara perarakan itu disertai pelajar sekolah, tahfiz, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas, agensi dan persatuan badan bukan kerajaan (NGO) serta semua surau sekitar Gombak.
Nazir Masjid Jamek Kampung Nakhoda Azmi Md Eusoff berkata program anjuran bersama Kolej Teknikal Azmida bertujuan mengeratkan silaturahim antara masyarakat serta mengingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.
[caption id="attachment_605062" align="aligncenter" width="541"] Peserta berarak sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran Kolej Teknikal Asmida dan Masjid Jamek Kampung Nakhoda di Batu Caves, Gombak pada 28 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
“Semua peserta teruja dan sambutan kali ini amat meriah kerana selain perarakan ada lagi aktiviti lain seperti bacaan sajak, nasyid, qasidah, jualan makanan dan pameran pendidikan oleh Kolej Teknikal Azmida dan pakej umrah,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di pekarangan Masjid Jamek Kampung Nakhoda, Batu Caves, di sini hari ini.
Menurut Azmi, perarakan bermula dari Masjid Jamek Kampung Nakhoda dan berakhir di lokasi sama dengan anggaran jarak 1.7 kilometer.
Beliau berkata pihaknya menyasarkan majlis sambutan dijadikan sebagai program tahunan dengan sambutan lebih besar serta pembabitan lebih banyak pihak.
“Insya-Allah sambutan akan dijadikan acara tahunan dan paling penting di masa hadapan kita akan banyakkan lagi aktiviti serta cuba dapatkan penyertaan dari luar kawasan bukan sahaja di Kampung Nakhoda,” katanya.
[caption id="attachment_605063" align="aligncenter" width="583"] Peserta berarak sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran Kolej Teknikal Asmida dan Masjid Jamek Kampung Nakhoda di Batu Caves, Gombak pada 28 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]