ad
AGENDA

Sukan Asia: Tugas sukar menanti Shah Firdaus, Ridwan di suku akhir acara pecut

27 Sep 2023, 3:23 PM
Sukan Asia: Tugas sukar menanti Shah Firdaus, Ridwan di suku akhir acara pecut

HANGZHOU, 27 SEPT: Jaguh berbasikal trek Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan adiknya Muhammad Ridwan, mara ke suku akhir acara pecut individu lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 yang berlangsung di Velodrom Pusat Sukan Chun’an Jieshou hari ini.

Muhammad Shah Firdaus, 27, mengetepikan pelumba dari India David Beckham pada pusingan penyingkiran dengan mencatatkan masa 9.659 saat, 0.276s mengatasi wakil India itu dalam saringan lima.

Beliau bakal berdepan saingan sengit daripada pemenang pingat perak Kejohanan Asia dari Jepun Shinji Nakano, esok.

Muhammad Ridwan, 22, pula menempah tempah ke suku akhir selepas memenangi perlumbaan pada pusingan repechage dengan catatan masa 9.880s, mengatasi dua pelumba Korea Selatan Oh Jeseok (+0.031s) dan Kang Seojun (+0.165s).

Muhammad Ridwan yang meraih pingat gangsa acara pecut berpasukan lelaki bersama Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Umar Hasbullah semalam, akan berdepan pelumba tuan rumah Zhou Yu di suku akhir.

Tumpuan kini terarah kepada pelumba adik beradik kelahiran Johor dalam acara pecut, berikutan penarikan diri Datuk Mohd Azizulhasni Awang kerana mengalami kecederaan ketika menjalani latihan di Velodrom Nasional di Nilai.

Sementara itu, dua pelumba wanita negara Anis Amira Rosidi dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menamatkan saingan masing-masing di tempat ketujuh dan kelapan dalam acara keirin wanita.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.