ad
AGENDA

Projek senggara tandas sekolah KPM siap 90.3 peratus

27 Sep 2023, 12:54 PM
Projek senggara tandas sekolah KPM siap 90.3 peratus

PUTRAJAYA, 27 SEPT: Sebanyak 7,544 atau 90.3 peratus projek penyelenggaraan kecil Kementerian Pendidikan (KPM) sedang dalam proses dan siap dilaksanakan setakat 22 September lepas, menurut Unit Penyelarasaan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

ICU JPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya dengan kerjasama KPM dipertanggungjawab untuk melaksanakan projek penyelenggaraan kecil melibatkan penyelenggaraan tandas bagi 8,354 sekolah dengan peruntukan RM630.77 juta yang bermula pertengahan Julai lepas.

“Baki sebanyak 810 atau 9.7 peratus projek sedang dalam peringkat akhir perolehan. Projek penyelenggaraan ini dijangka dapat disiapkan pada penghujung Oktober 2023,” menurut kenyataan itu.

Pelaksanaan kesemua projek berkenaan adalah secara kolaboratif antara ICU dan KPM serta pejabat-pejabat daerah di seluruh negara.

Menurut ICU JPM, inisiatif itu selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat yang menginginkan kemudahan tandas yang bersih dan selamat untuk keselesaan lebih lima juta pelajar dan 409,161 guru di negara ini.

“Kerajaan akan terus komited untuk memastikan penyediaan prasarana dan perkhidmatan terbaik serta dapat dirasai dan dinikmati oleh rakyat. Hasrat ini adalah selaras dengan agenda kerajaan dalam membangunkan Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.