ad
BERITA UTAMA

Keunggulan Hadis 40 Imam Nawawi jadi rujukan dunia Islam

25 Sep 2023, 4:00 AM
Keunggulan Hadis 40 Imam Nawawi jadi rujukan dunia Islam

Kitab Hadis 40 Imam Nawawi, al-Arba'in al-Nawawiyah, karya ulama besar bidang hadis dan pakar ulung fikah mazhab Syafie yang diakui hebat: tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Istimewa dan relevan hingga kini, himpunan 42 hadis ini menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia kerana membahaskan perkara usul dan prinsip dalam Islam. Himpunan ini mencakupi kehidupan umat Islam dari sudut akhlak, akidah, hukum dan amal soleh.

Hadisnya sahih, asas kepada kaedah syariat yang penting, seperti yang ditegaskan dalam pengantar kitab itu.

Ulama hadis seperti Ibn al-Mubarak, al-Tusi, al-Daraqutni, al-Hakim, Abu Nu’aim dan al-Zahabi yang turut menyusun 40 hadis, tetapi dengan tema berbeza, gagal menandingi populariti kitab Imam Nawawi ini.

Karya beliau sangat popular sehingga diterjemah, dihafal dan dipelajari dalam pelbagai bahasa di universiti, masjid, pondok dan pesantren di seluruh dunia.

Puluhan ulama mensyarahkan kitab ini antaranya Syarh al-Arba’in oleh Ibn Daqiq al-’Eid, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam (Imam Ibn Rajab al-Hanbali), Syarah al-Arba’in an-Nawawiyyah (Abdul Karim al-Khudair), Syarah al-Arbai’in an-Nawawiyyah (Abdul Muhsin al-‘Abbad) dan al-Wafi Syarh al-Arbain an-Nawawi (Mustafa al-Bugha).

Tepat dengan kehebatan kitab itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan pengajaran hadis 40 Imam Nawawi di hujung Festival Turath Islami Selangor di Shah Alam pada 25 Mei.

Susulan itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melancarkan modul penghayatan hadis itu pada 19 Ogos. Ia akan dilaksanakan di lebih 60 sekolah menengah kebangsaan agama dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan di seluruh negara.

Sempena sambutan Maulidur Rasul pada 28 September ini, Selangorkini menerbitkan ringkasan 42 hadis daripada himpunan Imam Nawawi.

Hadis 1

Berkaitan prinsip utama Islam iaitu setiap amalan bergantung pada niat. Individu yang beramal dengan niat ikhlas kepada Allah akan dibalas berdasar apa yang diniatkannya.

Hadis 2

Membicarakan maksud Islam, iman dan ihsan dan tanda kiamat. Disampaikan melalui Jibril, yang menyerupai manusia, malaikat itu duduk menyandarkan lututnya di atas lutut Nabi Muhammad lalu mengajar baginda mengenai perkara itu.

Hadis 3

Membahas tentang bagaimana Islam terbina di atas lima rukun iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan menunaikan haji di Baitullah jika berkemampuan.

Hadis 4

Menceritakan tentang peringkat kejadian manusia dan penentuan rezeki, ajal, qada’ dan qadar selepas roh ditiupkan ke janin. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Hadis 5

Menggalakkan umat Islam menjauhi amalan bid'ah, mereka-reka amalan baharu dalam urusan agama tanpa rujukan sumber sahih. Amalan yang tidak bersandarkan hujah syariat, maka ia akan tertolak.

Hadis 6

Islam menitik berat soal halal dan haram. Syariat menyeru umatnya meninggalkan perkara syubhah (tidak pasti) kerana dibimbangi terjatuh kepada perkara haram. Hadis ini menasihatkan umat Islam agar menjaga hati (qalb).

Hadis 7

Menjelaskan Islam sebagai agama nasihat yang mengandungi ketaatan kepada Allah, Rasul-Nya, beriman serta beramal dengan kitab dan sunnah Rasul-Nya. Selain itu, tanggungjawab menasihati pemimpin dan membantu pemerintah dalam perkara yang wajib dibantu. Nasihat bagi kaum muslimin pula dengan menyeru kepada Allah, melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar.

Hadis 8

Menyatakan keizinan memerangi golongan musyrikin Makkah yang memusuhi Islam dan orang yang memerangi umat Islam. Hadis ini juga bermaksud larangan memerangi atau menyakiti bukan Islam secara semberono.

Hadis 9

Larangan umat Islam melakukan perkara haram dan galakan supaya melaksanakan arahan nabi dengan sedaya-upaya. Umat terdahulu dibinasakan kerana terlalu banyak menyoal dan perselisihan dengan nabi mereka.

Hadis 10

Syariat Islam menganjurkan umatnya makan dan minum daripada sumber halal kerana ia prasyarat doa diterima oleh Allah.

Hadis 11

Rasulullah menyeru umatnya meninggalkan perkara meragukan, sebaliknya berpegang pada sesuatu yang yakin.

Hadis 12

Menyeru seseorang agar meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengan keperluannya atau perbuatan sia-sia, sama ada urusan dunia atau akhirat.

Hadis 13

Teks hadis ini menyeru kepada individu agar mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai diri sendiri kerana ia sebagai tanda kesempurnaan iman.

Hadis 14

Memberi amaran mengenai haram menumpahkan darah seseorang kecuali tiga jenis pesalah syariah iaitu janda atau duda yang berzina, pembunuh dan individu murtad.

Hadis 15

Menyeru seseorang agar bercakap perkara yang baik atau diam serta memuliakan jiran dan tetamu.

Hadis 16

Diriwayat Imam al-Bukhari, hadis ini membuat seruan kepada umat Islam agar menahan diri daripada sikap suka marah atau baran.

Hadis 17

Membicarakan tentang galakan bersikap ihsan kepada semua makhluk termasuk haiwan korban dengan menajamkan mata pisau.

Hadis 18

Mengenai galakan agar bertakwa pada Allah dalam apa jua keadaan, termasuk ketika bersendirian, dan menunjukkan akhlak yang baik sesama manusia.

Hadis 19

Pesanan Rasulullah kepada sahabat Abdullah Abbas agar memperkukuh iman pada dengan mematuhi dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah.

Hadis 20

Menjelaskan bahawa malu pada Allah sebahagian daripada iman. Terjemahannya, "jika anda tidak ada rasa malu, buatlah apa sahaja."

Hadis 21

Membicarakan mengenai anjuran Islam agar beriman pada Allah dan tekal (istiqamah) atas jalan yang diperintahkan oleh-Nya.

Hadis 22

Berkaitan kewajipan menunaikan perintah dan meninggalkan larangan sebagai asas masuk ke syurga.

Hadis 23

Menyatakan tentang kelebihan amalan soleh seperti bersuci, zikir (bertasbih, bertahmid serta bertakbir), mengerjakan solat dan bersedekah.

Hadis 24

Hadis panjang yang diriwayatkan oleh sahabat Abu Dzar al-Ghifari mengenai keluasan kurniaan Allah kepada hamba-Nya.

Hadis 25

Mengenai galakan Rasulullah supaya sekumpulan sahabatnya berlumba-lumba dan bersegera melakukan kebaikan termasuk bertasbih, bertahmid dan bertakbir yang dianggap sedekah.

Hadis 26

Mengenai setiap amalan yang dilakukan anggota badan disifatkan sebagai bersedekah, bermula terbit matahari.

Hadis 27

Mengenai Rasulullah menjawab pertanyaan sahabat tentang perkara baik dan dosa. Baginda berkata kebaikan menenangkan jiwa tetapi dosa meresahkannya.

Hadis 28

Mengenai pesanan junjungan besar kepada umatnya agar bertaqwa dan mentaati pemimpin serta mengikut sunnah dan menjauhi bid’ah.

Hadis 29

Menjelaskan amalan yang memasukkan umat ke syurga dan dihindari neraka dengan melaksanakan rukun Islam, bersedekah, solat malam, berjihad serta menjaga percakapan.

Hadis 30

Berkaitan larangan mengabaikan syariat Allah yang difardukan dan haram melanggar batasan.

Hadis 31

Pesanan Rasulullah kepada seorang sahabat agar mengamalkan sikap zuhud yang mengundang cinta Allah dan manusia kepada seseorang.

Hadis 32

Mengenai larangan membawa mudarat dan sengaja membalas dengan kemudaratan.

Hadis 33

Berkaitan asas penghakiman Islam dengan membawa cukup bukti dan sumpah bagi memelihara harta dan nyawa.

Hadis 34

Rasulullah mengingatkan tentang kewajipan cegah kemungkaran melalui tiga tahap kekuatan iman: tangan (kuasa), lisan (teguran) dan hati (dianggap selemah-lemah iman).

Hadis 35

Melarang umat Islam berdengki, menipu, membenci dan bermusuhan. Sebaliknya menghormati persaudaraaan dan hak sesama muslim.

Hadis 36

Seruan dalam hadis ini mengenai anjuran menghilangkan kesulitan seseorang mukmin, kelebihan menuntut ilmu dan menjaga keaiban seseorang.

Hadis 37

Layanan dan kemuliaan Allah menggandakan setiap amalan hambanya sehingga 700 kali ganda.

Hadis 38

Kemuliaan para wali Allah dan kelebihan mereka.

Hadis 39

Tiga perkara yang diberi kemaafan kepada umat Nabi Muhammad iaitu tersilap, terlupa dan terpaksa (dipaksakan oleh pihak lain).

Hadis 40

Rasulullah menasihati umat Islam agar memanfaatkan peluang semasa hidup tanpa tabiat menangguh-nangguhkan amalan kebaikan.

Hadis 41

Mengenai saranan Rasulullah agar melawan kehendak hawa nafsu dengan mengikut petunjuk dan sunnah baginda.

Hadis 42

Imam Nawawi mengakhiri susunan hadis dengan mengkhabarkan pintu keampunan Allah sangat luas, maka Dia pasti akan mengampunkannya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.