ad
AGENDA

Lelaki hilang dihanyut arus ketika memancing udang ditemukan mati lemas

24 Sep 2023, 5:00 AM
Lelaki hilang dihanyut arus ketika memancing udang ditemukan mati lemas

JERTIH, 24 SEPT: Lelaki yang hilang selepas dihanyutkan arus ketika memancing udang galah di Sungai Besut berhampiran Empangan Pengkalan Nangka dekat Kuala Besut, di sini semalam, ditemukan lemas pagi tadi.

Mayat Husin Jusoh, 46, ditemukan pada jam 7.45 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat, kira-kira 250 meter daripada tempat terakhir mangsa dilihat tenggelam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata keluarga mangsa telah membuat pengecaman dan mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut, untuk bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan 9 pagi dan polis membuka kertas siasatan SDR (kematian mengejut) dan sedang menunggu laporan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan, Husin dari Kampung Telaga Papan, Pasir Putih, Kelantan dikhuatiri lemas ketika memancing udang galah bersama seorang rakannya, berhampiran Empangan Pengkalan Nangka (Tok Gong) pada pukul 1 pagi.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.