ad
AGENSI

Pelawa lebih ramai pertubuhan Islam bukan kerajaan bernaung bawah Mais

20 Sep 2023, 6:42 AM
Pelawa lebih ramai pertubuhan Islam bukan kerajaan bernaung bawah Mais

SHAH ALAM, 20 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengalu-alukan penyertaan lebih banyak pertubuhan Islam bukan kerajaan (PIBK) bernaung bawah agensi itu.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ketika ini sebanyak 77 pertubuhan sudah berdaftar bagi menjalankan tanggungjawab bersama dalam isu berkaitan ummah.

“Kalau Jabatan Agama Islam (Jais) dan Mais sahaja yang laksanakan tugas, kita mungkin tidak dapat buat secara menyeluruh kepada semua orang.

“Lagi ramai PIBK, lagi baik. Lagi luas kita dapat jalankan tanggungjawab kita. Kita pelawa dan buka permohonan untuk sertai kita secara atas talian,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Seminar Pemerkasaan PIBK 2023 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di sini, hari ini.

Abdul Aziz menjelaskan, semua PIBK yang bernaung bawah Mais dibahagikan kepada 10 kluster mengikut fungsi dan peranan masing-masing dalam pertubuhan.

Sepuluh kluster itu antaranya ialah Kluster Dakwah dan Islah, Pemantapan Akidah, Pemerkasaan Halalan Toyiban, Kebajikan Anak Yatim, dan Pembangunan Keluarga Islam.

“Saya berharap PIBK ini dapat wujudkan persefahaman antara kluster-kluster supaya perkara melibatkan kepentingan hal ehwal Islam dapat dilaksanakan secara bersama dan bersepadu,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.