SHAH ALAM, 18 SEPT: Ahli politik disaran melaksana gencatan senjata sehingga pilihan raya akan datang demi kestabilan ekonomi dan perpaduan masyarakat, cadang ahli Majlis Perpaduan Negara.
Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpendapat saranan tersebut bagi memastikan kedua-dua pihak dapat mengukuhkan usaha memajukan negara berbanding hanya sekadar berpolitik.
“Gencatan senjata atau perdamaian politik harus dilakukan supaya kedua-dua pihak boleh terus bersama dalam menyelesaikan isu negara dan kepentingan rakyat.
“Gencatan senjata pernah dilakukan dahulu semasa zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri dan ia mungkin boleh diusulkan sekali lagi,” katanya kepada Selangorkini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin mencadangkan pemimpin politik melaksanakan gencatan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang demi kestabilan negara.
Menurutnya, suhu politik negara masih belum reda selepas 10 bulan PRU diadakan, malah ada pihak menggunakan isu 3R iaitu institusi diraja, kaum dan agama untuk kepentingan politik.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dalam titahnya minggu lalu menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab juga perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.
Baginda juga menyeru semua pemimpin politik khasnya senior dan veteran supaya mengelak daripada memecahbelahkan rakyat di negara ini.
Sebaliknya, baginda bertitah pemimpin perlu menanam dan memupuk semangat perpaduan erat dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama demi kesejahteraan negara.