ad
AGENDA

Remaja perempuan hilang sejak Rabu ditemukan selamat di rumah rakan

17 Sep 2023, 1:50 PM
Remaja perempuan hilang sejak Rabu ditemukan selamat di rumah rakan

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak Rabu lepas ditemukan selamat di rumah rakannya di Semenyih, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata remaja berusia 15 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang oleh ibu rakannya itu kira-kira 12.30 tengah hari semalam selepas menyedari kes kehilangan berkenaan melalui media sosial.

"Wanita berusia 48 tahun itu telah melihat hantaran di Facebook berkaitan kehilangan remaja tersebut yang sepanjang kejadian itu menumpang di rumahnya di Semenyih," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati remaja berkenaan melarikan diri dari rumah disebabkan perselisihan faham dengan keluarga.

Katanya rakannya tidak mengetahui remaja itu melarikan diri dari rumah kerana tidak dimaklumkan mengenai perkara itu sepanjang remaja itu menumpang di rumahnya.

"Remaja itu dijumpai selamat tanpa sebarang kecederaan dan telah diserahkan kepada ibu bapanya di IPD Kajang," katanya.

Rabu lepas, remaja terbabit disedari hilang setelah ibunya mendapati dia tidak pulang dari sekolah dan kemudian membuat laporan polis di IPD Kajang, pada hari sama.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.