ad
BERITA UTAMA

Perjanjian Malaysia 16 September 1963 tiang utama negara

16 Sep 2023, 2:08 AM
Perjanjian Malaysia 16 September 1963 tiang utama negara
Perjanjian Malaysia 16 September 1963 tiang utama negara
Perjanjian Malaysia 16 September 1963 tiang utama negara

Perjanjian Malaysia ditandatangani pada 9 Julai 1963. Menerusinya, Sarawak, Sabah dan Singapura membentuk negara baharu dengan Tanah Melayu berkuatkuasa 16 September 1963.

Namun, Singapura dikeluarkan daripada persekutuan pada 1965. Perjanjian Malaysia didaftar di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 21 September 1970.

Sempena Hari Malaysia, wartawan NADIAH ZAMLUS berkongsi teks Perjanjian Malaysia yang dimeterai di London, 60 tahun lalu.

Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom Great Britain dan Ireland Utara, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura; Dengan hasrat mengikat suatu perjanjian berhubung dengan Malaysia;

Bersetuju seperti berikut:-

Perkara I

Tanah Jajahan Borneo Utara dan Sarawak dan Negeri Singapura akan disekutukan dengan Negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu sedia ada sebagai Negeri Sabah, Sarawak dan Singapura mengikut surat cara Perlembagaan yang dilampirkan kepada Perjanjian ini dan Persekutuan ini hendaklah selepas itu dinamakan "Malaysia".

Perkara II

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu akan mengambil apa-apa langkah sesuai dan yang boleh diambilnya bagi mendapatkan penggubalan oleh Parlimen Persekutuan Tanah Melayu suatu Akta dalam bentuk yang dinyatakan dalam Lampiran A Perjanjian ini dan ia akan mula berkuat kuasa pada 31 hari bulan Ogos 1963 (dan tarikh Akta itu mula berkuat kuasa dirujuk selepas ini sebagai "Hari Malaysia").

Perkara III

Kerajaan United Kingdom akan menyerahkan Perintah dalam Majlis Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen Great Britain sebelum Hari Malaysia bagi maksud memberi kuat kuasa undang-undang kepada Perlembagaan Sabah, Sarawak dan Singapura sebagai Negeri-negeri Malaysia yang dinyatakan dalam Lampiran B, C dan D Perjanjian ini.

Perkara IV

Kerajaan United Kingdom akan mengambil apa-apa langkah sesuai dan yang boleh diambilnya bagi mendapatkan penggubalan oleh Parlimen United Kingdom suatu Akta yang memperuntukkan, dari Hari Malaysia, pelepasan kedaulatan dan bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen Great Britain berkaitan dengan Borneo Utara, Sarawak dan Singapura supaya kedaulatan dan bidang kuasa tersebut apabila dilepaskan sedemikian akan terletak hak menurut Perjanjian ini dan surat cara Perlembagaan yang dilampirkan kepada Perjanjian ini.

Perkara V

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu akan mengambil apa-apa langkah sesuai dan yang boleh diambilnya sebelum Hari Malaysia bagi mendapatkan penggubalan oleh Parlimen Persekutuan Tanah Melayu suatu Akta dalam bentuk yang dinyatakan dalam Lampiran E Perjanjian ini bagi maksud memperluas dan menyesuaikan Ordinan Imigresen 1959, Persekutuan Tanah Melayu untuk Malaysia dan bagi membuat peruntukan tambahan berkaitan dengan kemasukan ke dalam Negeri Sabah dan Negeri Sarawak; dan peruntukan lain Perjanjian ini hendaklah menjadi syarat dalam penggubalan Akta tersebut.

[caption id="attachment_603132" align="aligncenter" width="811"] Peserta perbarisan mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu patriotik pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Johor di Jalan Johor Bahru-Simpang Renggam pada 31 Ogos 2023. Foto Bernama[/caption]

Perkara VI

Perjanjian Pertahanan Luar dan Bantuan Bersama antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Kerajaan United Kingdom pada 12 hari bulan Oktober 1957, dan lampirannya hendaklah terpakai kepada semua wilayah Malaysia, dan dalam Perjanjian itu apa-apa rujukan tentang Persekutuan Tanah Melayu hendaklah disifatkan sebagai terpakai kepada Malaysia, tertakluk kepada proviso bahawa Kerajaan Malaysia akan memberi Kerajaan United Kingdom hak bagi terus mengekalkan pangkalan dan kemudahan lain yang pada masa ini diduduki oleh pihak berkuasa Perkhidmatan (tentera) mereka di Negeri Singapura dan akan membenarkan Kerajaan United Kingdom menggunakan pangkalan dan kemudahan itu sebagaimana yang difikirkan oleh Kerajaan itu perlu bagi maksud membantu dalam pertahanan Malaysia, dan bagi pertahanan Komanwel dan bagi memelihara keamanan di Asia Tenggara. Pemakaian Perjanjian tersebut hendaklah tertakluk kepada peruntukan Lampiran F Perjanjian ini (terutamanya yang berhubung dengan tanah Perkhidmatan (tentera} di Singapura).

Perkara VII

(1) Persekutuan Tanah Melayu bersetuju bahawa Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen Great Britain boleh membuat, sebelum Hari Malaysia, Perintah dalam Majlis dalam bentuk yang dinyatakan dalam Lampiran G Perjanjian ini bagi maksud membuat peruntukan pembayaran pampasan dan faedah persaraan kepada sesetengah pegawai seberang laut yang berkhidmat, sebaik-baik sahaja sebelum Hari Malaysia, dalam perkhidmatan awam Tanah Jajahan Borneo Utara atau Tanah Jajahan Sarawak.

(2) Pada, atau secepat yang boleh dilakukan selepas Hari Malaysia, Perjanjian Pegawai Awam dalam bentuk yang dinyatakan dalam Lampiran H dan I Perjanjian ini hendaklah ditandatangani bagi pihak Kerajaan United Kingdom dan Kerajaan Malaysia; dan Kerajaan Malaysia hendaklah memperoleh persetujuan Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak atau Singapura, mengikut mana-mana yang perlu, setakat mana yang termanya mungkin menjejaskan tanggungjawab atau kepentingan Kerajaan Negeri itu, dalam penandatanganan Perjanjian itu oleh Kerajaan Malaysia.

Perkara VIII

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak akan mengambil apa-apa tindakan perundangan, eksekutif atau tindakan lain sebagaimana yang diperlukan bagi melaksanakan jaminan, aku janji dan syor yang terkandung dalam Bab 3, dan Lampiran A dan B Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan yang ditandatangani pada 27 hari bulan Februari 1963, selagi ia tidak dilaksanakan melalui peruntukan nyata Perlembagaan Malaysia.

[caption id="attachment_603133" align="aligncenter" width="761"] Persembahan tarian memeriahkan acara perbarisan dan perarakan pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 bertemakan “Malaysia MADANI:Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2023. Foto Bernama[/caption]

Perkara IX

Peruntukan Lampiran J Perjanjian ini berhubung Pasaran Bersama dan perkiraan kewangan hendaklah membentuk Perjanjian antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Kerajaan Singapura.

Perkara X

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan Singapura akan mengambil apa-apa tindakan perundangan, eksekutif atau tindakan lain sebagaimana yang diperlukan bagi melaksanakan perkiraan berkaitan dengan penyiaran dan televisyen yang dinyatakan dalam Lampiran K Perjanjian ini selagi ia tidak dilaksanakan melalui peruntukan nyata Perlembagaan Malaysia.

Perkara XI

Perjanjian ini hendaklah ditandatangani dalam bahasa Inggeris dan Melayu kecuali Lampirannya hendaklah dalam bahasa Inggeris sahaja. Jika timbul apa-apa keraguan teks Inggeris Perjanjian ini hendaklah mengatasi yang lain.

Pada menyaksikannya maka mereka yang bertandatangan di bawah, yang diberi kuasa sewajarnya, telah menandatangani Perjanjian ini.

Ditandatangani di London pada 9 hari bulan Julai 1963, dalam lima salinan yang mana satu salinannya hendaklah disimpan oleh setiap Pihak.

Bagi pihak United Kingdom:

Harold Macmillan

Duncan Sandys

Lansdowne

Bagi pihak Persekutuan Tanah Melayu:

T. A. Rahman

Abdul Razak

Tan Siew Sin

V. T. Sambanthan

Ong Yoke Lin

S.A. Lim

Bagi pihak Borneo Utara:

Datu Mustapha Bin Datu Harun

D.A. Stephens

W. K. H. Jones

Khoo Siak Chiew

W. S. Holley

G. S. Sundang

Bagi pihak Sarawak:

P. E. H. Pike

T. Jugah

Abang Haji Mustapha

Ling Beng Siew

Abang Haji Openg

Bagi pihak Singapura:

Lee Kuan Yew

Goh Keng Swee

Sumber Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia 1791-1965 terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2008

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.