ad
AGENDA

Izzat, Alyani mara ke separuh akhir kejohanan boling padang di Australia

15 Sep 2023, 11:34 AM
Izzat, Alyani mara ke separuh akhir kejohanan boling padang di Australia

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Kemaraan dua atlet boling padang kebangsaan ke separuh akhir kejohanan Champion of Champions 2023 di Gold Coast, Australia, diharap dapat menyumbangkan hadiah berupa pingat kepada negara, sempena Hari Malaysia yang disambut esok.

Menurut laman web rasmi World Bowls, dalam suku akhir perseorangan lelaki hari ini, naib johan tahun lepas Izzat Shameer Dzulkeple menewaskan Pat Bird dari Kanada 1-0 dalam tie-breaker, selepas masing-masing memenangi satu set dan seri satu set.

Juara Asia dua kali itu, yang terlepas gelaran juara menerusi tie-breaker di New Zealand tahun lepas, akan berdepan Daniel Salon dari Wales esok, manakala wakil Scotland Darren Gualtieri bakal menentang Edward Morris dari England dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Sementara itu, dalam perseorangan wanita, Nurul Alyani Jamil menumpaskan Anna Christine Fourie dari Afrika Selatan 5-1 untuk mara ke separuh akhir.

Nurul Alyani akan bertemu Lucy Beere dari Guernsey, sebuah negara pulau kecil di Selat Inggeris berdekatan pesisir pantai Perancis.

Dalam pada itu, atlet Singapura Philomena Goh Quee Kee dijadualkan menentang Anne Nunes dari Amerika Syarikat dalam satu lagi pusingan separuh akhir.

Pasukan negara mengekalkan prestasi baik mereka dengan meraih emas dan gangsa dalam Kejohanan Boling Padang Dunia yang berakhir hujung minggu lepas di Gold Coast.

Pada kejohanan tersebut, atlet yang pertama kali beraksi dalam pertandingan itu, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Ahmad Nawawi, mencipta sejarah buat Malaysia dengan julung kali mengungguli beregu wanita.

Selain itu, Izzat Shameer-Mohammad Soufi Rusli meraih gangsa bagi acara sama lelaki.

Sebelum ini, tiga atlet Malaysia muncul johan Perseorangan Champion of Champions, sebuah kejohanan disertai juara-juara perseorangan kebangsaan yang mula dianjurkan pada 2003.

Nor Iryani Azmi menjadi rakyat Malaysia pertama untuk muncul juara kejohanan berkenaan apabila meraih gelaran perseorang wanita pada 2005, diikuti Hizlee Abdul Rais (perseorangan lelaki) pada 2012 dan Emma Saroji (perseorangan wanita) pada 2015.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.